Followers

Tuesday, 31 December 2013

Novel: Lirik Cinta Bab 1

“Mama, mari sini tolong Qaireen. Sofa ni berat sangat.”  Aku memanggil mama
sebaik sahaja terlihat  kelibat mama melintasi ruang tamu rumah.  Sambil itu aku perhatikan ruang tamu yang bakal berlangsung sebuah majlis pertunangan tidak lama lagi.  Cukup semak dan selerak dengan segala macam benda.  Bukan semak apa pun, Cuma semak dengan set sofa dan yang seangkatan denganya.  Aku hairan, mana pergi semua orang dalam rumah ini.  Ruang tamu rumah ni dah la besar! Yang kena mengemas aku sorang diri.  Mana tak angin aku macam ni.  Kalaulah majlis bertunang aku juga buat dekat rumah, tahulah aku nak kerjakan diorang.  Tapi aku nak buat majlis dekat dewan. 

Hoi Qaireen, mengarut apa lagi? Sedarlah diri sikit.  Calon tunang awak dah lari tinggalkan awak.  Cari calon dulu, baru buat majlis bertunang dalam dewan besar lagi meriah! Nanti kena tinggal sorang-sorang lagi, siapa yang malu?
Aku rasa macam ada suara perli aku.  Dan suara tu tak lain tak bukan hati dan minda aku.  Nasib baik ada suara ghaib yang cepat kejutkan aku dari kenangan lama.

“Cepatlah, mama ada banyak kerja lagi.  Nak susun lagi kat atas sana.” Gesaan mama sekali gus mengejutkan aku dari lamunan.  Memanglah banyak kerja, ini kali pertama rumah aku buat majlis pertunangan.  Majlis ini harus kelihatan sempurna kerana Kak Azzalea merupakan anak sulung dalam keluarga kami.  Aku lebih suka panggil keluarga ini sebagai “The Crazy Family” gila-gila pun keluarga aku. “Okey” balas aku sambil mengusung sofa yang berat itu.

 Bertuah sungguh Kak Lea, selepas tamatkan pengajian dalam ijazah kedoktoran di Ireland, Abang Fariz terus masuk meminang kakak aku.  Okeylah  diorang sama-sama doktor dekat Hospital Pakar Seberang Jaya.  Sebab itu habis semua kaum kerabat keluarga aku sibuk menguruskan majlis ini agar tampak sempurna. Tetapi, yang teruk sekali sudah tentu aku!  Ada ke patut, diorang cakap yang aku ni bujang lagi.. tak banyak urusan, boleh la tolong lebih sikit.  Macam tak masuk akal pun ada.

Banyak sangat aku cerita pasal keluarga aku, meh sini aku cerita pasal aku pulak.  Aku? Aku Qaireen Sofia.  Memang tak cantik macam ratu cantik.  Kulit pun sawo matang. Cuma lesung pipit di kedua-dua belah pipi aku yang menambah seri sedikit di wajah aku.  Mama yang kata.  Buat masa sekarang aku penganggur sepenuh masa, sebab aku tak pasti nak kerja dengan abah atau kerja dengan orang lain.  Senang cerita aku duduk rumah perabis beras mama.

 Aku pernah bercinta dengan seorang mamat ni. Adam Amsyar. Sebenarnya dia senior aku kat Kolej dulu.  Enam tahun aku bercinta dengan dia. Tiga tahun bercinta dekat kolej, tiga tahun bercinta jarak jauh sebab dia sambung belajar di London.  Waktu itulah kasih dia diragut orang.  Dugaan bercinta jarak jauh mungkin.  Selepas dia tamat belajar, dia ada datang jumpa aku.  Aku ingat dia nak meminang aku, rupa-rupanya dia nak putuskan hubungan kami.  Aku harap dia bahagia dengan pilihan hati dia. Kini sudah dua tahun sejak perpisahan kami.  Sedih tu sedih jugak..tapi bak kata orang putih  life goes on. Bak kata orang melayu, Bunga bukan sekuntum, Kumbang bukan seekor.

“Mama, nak letak mana benda alah ni?” soal aku sambil mengusung meja kecil.
“Umm… letak je dekat tepi sofa tadi.” Arah mama sebaik sahaja aku sampai di tepi sofa. “Ma, penatlah. Nak rehat kejap boleh tak?” dengan selamba aku menghempas punggung aku di sofa tadi.  Mama hanya membalas dengan sebaris senyuman. Aku melihat kembali ruang tamu rumah.  Sudah nampak  lapang sikit.  Tengok  siapa yang kemaslah. Macam masuk mangkuk senduk sendiri je ayat tu.

Tempoh seminggu yang tinggal benar-benar membuat aku kepenatan.  Nasib baik kaum kerabat aku banyak, bolehlah nak bernafas seketika.  Deruan enjin motorsikal menyedarkan aku. Aku kenal dengan deruan tersebut. Deruan enjin motorsikal Honda bulat milik abah. Sudah dua puluh  lima tahun aku mendengar deruan enjin tersebut. Barang pusaka pemberian Tok ayah. Ayah kepada abah aku.  Sayang sungguh abah dengan motor yang aku kira boleh dipanggil barang antik.  Abah menjengahkan kepalanya  di ruang tamu. Sekuntum senyuman ditujukan khas buat aku.

“Bagus anak abah ni.  Kuat betul dia kemas sorang diri.” Puji abah.  Apa lagi, aku pun senyum sampai ke telinga.
“Yelah tu dia kemas sorang diri. Kita yang disuruhnya mengemas.” Muncul mama sambil menatang dulang berisi kek buah dan air teh o panas.
“Mana ada!. Dah sofa tu berat, Sofia panggil la mama nak angkat sofa tu.” Aku membela diri sendiri.
“Abahnya, si Qaireen Sofia ni mana pernah tak tolong saya mengemas. Disuruh kerja tak nak. Dah tu kena tolong sayalah.” Balas mama sambil menyuap sepotong kek buah ke dalam mulut. Abah hanya ketawa kecil mendengar bicara mama.

Seusai kami makan malam, aku melangkah keluar menuju buaian besi di taman bunga mama.  Malam itu angin sepoi-sepoi bahasa. Aku mendongak ke langit, bintang bertaburan dengan banyaknya. Terasa seperti ada mata yang memandang aku. Aku segera beralih ke sisi. Kak Lea sedang merenung aku dengan penuh minat.
“Asal ni?..Macam tak pernah tengok orang tengok bintang je.” Soal aku apabila Kak Lea masih memandang wajah aku.
“Saja. Nak tengok muka orang yang penat tolong kakak dia mengemas rumah.” Kak Lea membalas seraya tersenyum simpul.
“Takde maknanya.” Aku menjawab sambil ketawa kecil.

Aku lihat terlukis wajah kegembiraan di wajah kakak aku. Dia benar-benar gembira dengan pertunangan ini. Aku tahu abang Fariz seorang lelaki yang budiman. Dia selalu tersenyum. Untung kak Lea bertemu dengan dia.  Semoga ikatan kasih antara mereka berkekalan hingga ke syurga.

Aku mengajak kak Lea masuk tidur, kerana badan aku sangat kepenatan dan mata aku pinta untuk direhatkan.  Beberapa hari yang akan datang pastinya sangat sibuk sekali. Maka aku pun harus menikmati hari itu dengan penuh semangat.


1 comment: